Novel



RENYAH (GUNAWAN MAHMOOD)
(Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan)

SINOPSIS
Datuk Dolhi risau akan anak-anaknya yang tidak menunjukkan minat untuk menyambung dan mengurus perniagaannnya.malah anak-anaknya lebih senang memilih jalan mereka sendiri. Misalnya Hasnol lebih sayang akan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Ilham sibuk dengan perjuangan alam sekitarnya dan sebagai penyair, Mukhlis bergerak dalam kumpulan ajaran sesat, Amera tekun dengan kerjayanya sebagai pendidik, dan Dani pula sibuk sebagai artis rock.

Suatu hari, Datuk Dolhi berasa amat sedih apabila mengetahui bahawa Ilham telah menghasut orang-orang Penan untuk membuat benteng manusia bagi menghalang pembalakkan di Sarawak. Lantaran itu, beliau pergi ke Jepun untuk berehat. Di Jepun beliau ditemani Wahi, iaitu anaknya dengan Mastura. Beliau memberitahu Wahi akan perkara sebenar, iaitu Wahi adalah anaknya, tetapi perkara itu telah sedia diketahui oleh Wahi. Sewaktu mahu pulang, Wahi memberitahu Datuk Dolhi bahawa dia ingin berkahwin dengan gadis Jepun. Datuk Dolhi memberikan restu kepada Wahi setelah kembali ke tanah air. Datuk Dolhi menghadapi pelbagai masalah dengan anak-anaknya seperti Hasnol didakwa menerima rasuah, Dani terlibat dengan dadah dan Ilham telah lari ke luar Negara kerana diburu pihak berkuasa. Mukhlis pula hidup merempat dan menjadi gila. Cuma Amera sahaja yang menggembirakan Datuk Dolhi dan berkahwin dengan YB Wahab.

Masalah yang berlaku pada anak-anaknya telah dapat diselesaikan. Datuk Dolhi telah menjamin Dani dan menghantar Dani ke pusat pemulihan.Datuk Dolhi juga mencari Mukhlis , dan akhirnya telah menemui Mukhlis yang terlantar di hospital. Hasnol juga telah kembali ke tanah air dan dijamin oleh Datuk Dolhi.


Wahi telah kembali ke tanah air dan telah disambut oleh Datuk Dolhi sekeluarga. Datin Tominah juga menerima Wahid dan isterinya, Yuka. Akhirnya, Datuk Dolhi telah mengumumkan Wahi sebagai penggantinya di Dolhi-Albert Holding. Setelah sebahagian masalah keluarganya selesai, Datuk Dolhi bercadang ke Makkah untuk menunaikan umrah bersama isterinya.


TEMA
Tema novel ialah ketabahan menghadapi masalah dalam keluarga. Cerita yang berkisar dalam kehidupan Datuk Dolhi dan keluarganya. Dalam meneruskan kelangsungan dunia perniagaan yang diterajuinya, sehingga dia menjadi seorang tokoh korperat yang berjaya dan disegani, Datuk Dolhi menghadapi pelbagai ragam dan karenah anak-anaknya. Beliau mahukan yang terbaik buat anak-anak namun sebaliknya yang berlaku apabila anak-anaknya terlibat dengan pelbagai salah laku. Beliau begitu tabah menghadapi setiap karenah anak-anaknya daripada masalah Hasnol yang terpalit dengan rasuah sehingga kepada Dani yang bergelumbang dengan najis dadah.
  

PERSOALAN
  • Kegigihan dalam berniaga. Datuk Dolhi begitu gigih meneruskan perniagaannya sehingga menjadi tokoh koperat yang berjaya. Dia menjalankan perniagaannya secara usahasama dengan Albert Lee. Dia berharap agar salah seorang daripada anaknya meneruskan usahanya itu namun hasratnya gagal kerana anak-anaknya tidak berminat.


  • Kepentingan ilmu. Datuk Dolhi tidak pernah puas mencari ilmu. Dia banyak membaca untuk menambah pengetahuannya. Dia menggunakan bahan dan maklumat daripada pembacaannya untuk digunakan dalam ceramahnya.


  • Kasih sayang sesama ahli keluarga. Walaupun anak-anaknya terlibat dengan pelbagai masalah namun kasih sayang Datin Tominah tidak pernah luntur terhadap anak-anaknya. Dia cuba sedaya upaya memujuk suaminya agar dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak-anak.


  • Pengarug ajaran Islam yang menyimpang. Mukhlis cuba mendalami ajaran agama akhirnya terperangkap dan terikut-ikut dengan ajaran songsang. Dia akhirnya mengalami tekanan sehingga menjadi kurang siuman.

PENGAJARAN
  • Kita mesti bertanggungjawab membina sebuah keluarga yang bahagia supaya masa depan anak-anak gemilang- 
Datuk Dolhi berusaha membina empayar perniagaannya semata-mata untuk anak-anaknya pada masa hadapan.
  • Kita hendaklah mencintai alam sekitar supaya pencemaran dapat dielakkan-
Ilham berjuang supaya hutan tidak ditebang agar generasi akan datang dapat menikmati sumber hutan sebagai khazanah negara walaupun ayahnya terlibat dalam bidang pembalakan
  • Jangan kita bersikap ego dan angkuh dengan kekayaan yang dimiliki kerana sikap sedemikian akan memakan diri kita nanti.-
Hasnol bersikap angkuh terhadap ibunya apabila memiliki wang yang banyak hasil daripada perbuatan rasuahnya menyebabkan dia ditangkap oleh pihak berkuasa.
  • Jangan kita mengecewakan ibu bapa kita kerana amalan sedemikian tidak mendatangkan keberkatan dalam hidup.-
Anak-anak Datuk Dolhi telah melakukan perkara-perkara yang telah menyebabkan Datin Tominah mencadangkan supaya mereka lari ke tempat lain untuk mengelakkan daripada masalah yang dihadapi kerana sangat kecewa dengan anak-anaknya.


NILAI MURNI
  • Kegigihan- Robert Lee gigih berusaha dengan bermula dari bawah sebagai kerani, juru jual, penyelia bengkel sehingga menjadi pengurus di syarikat Dolhi-Albert Holding.
  • Patriotik- Datuk Dolhi lebih suka menggunakan kereka saga limosin barunya buatan Malaysia ke majlis-majlis rasmi kerana dia lebih mengutamakan barangan buatan tempatan. Dalam hal berpakaian, dia lebih suka menggunakan batik Kelantan kerana buatannya juga bermutu tinggi.
  • Amanah- Datuk Dolhi tidak memberi wang syarikat kepada Hasnol dan Mukhlis walaupun syarikat tersebut adalah kepunyaannya kerana beberapa prosedur perlu diikuti dan tidak boleh mengeluarkan wang sewenang-wenangnya.
  • Kerajinan- Datuk Dolhi memuji kerajinan Wahi yang menghantar kertas kerja kepadanya melalui faks walaupun berada di Jepun.


SUTERA DALAM LUKIS (Abd. Talib Hassan)
SINOPSIS

Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda iaitu Bujei yang mengalami kepayahan hidup dan konflik jiwa selepas kematian ibunya, Fatimah ekoran daripada kebakaran di rumah mereka. Kebakaran tersebut berlaku apabila bapa tirinya, Harun yang panas baran dan kejam telah menyepak pelita sehingga akhirnya rumah mereka terbakar. Bujei tidak mampu menyelamatkan ibunya, malah dituduh menjadi penyebab kebakaran itu.

Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dan dipermain-mainkan oleh masyarakat kampung. Bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.

Hidupnya keseorangan dan kesepian. Dia selalu pergi ke sungai untuk bersendirian dan mengingati semula pelbagai kenangan pahit yang dilaluinya.

Kehadiran Adila yang banyak membantunya memulihkan keyakinan diri telah beransur-ansur mengubah perwatakan Bujei dan dia mulai merasai erti kehidupan yang sebenar. Namun banyak dugaan yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama Adila.

Bujei dibuli dan dipermain-mainkan oleh Alias dan kawan-kawannya. Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila. Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila. Alias sanggup merayu kepada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya. Bujei turut diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana kononnya terlibat dalam perbuatan maksiat semasa menuntut di luar negara. Tujuannya supaya Bujei membenci dan menjauhkan diri daripada Adila.

Kegagalan rancangannya menyebabkan dendam Alias kian membara. Alias meminta bantuan daripada neneknya yang selalu sahaja menurut kemahuannya iaitu Opah Arah untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya. Alias akhirnya telah menjadi tidak siuman.

Adila turut menolak hasrat Faizal yang mahu memujuknya kerana dia kecewa dengan sikap Faizal yang berkahwin dengan orang lain.

Orang kampung telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei menjadi orang yang tidak siuman.

Apabila yakin dan berpuas hati bahawa Bujei telah kembali normal dan mampu berdikari, Adila berhasrat untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Kuala Lumpur kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di sebuah institut swasta. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya, Mak Lamah tentang keputusannya untuk menerima Bujei sebagai pasangan hidupnya.

TEMA
Novel Sutera Dalam Lukisan bertemakan kemasyarakatan iaitu pandangan masyarakat terhadap orang yang lemah daya pemikiran atau kurang berakal. Terdapat beberapa pandangan ahli masyarakat terhadap watak utama iaitu Bujei. Sebahagian ahli masyarakat yang menganggap Bujei bodoh. Oleh yang demikian, Bujei menjadi objek buli golongan masyarakat ini. Ia diwakili oleh Alias dan Harun. Alias menganggap Bujei bodoh dan telah mengambil kesempatan untuk membuli Bujei. Dia selalu memaksa Bujei membasahkan pakaian dan melumurkan badan dengan lumpur. Jika tidak, Alias akan memukul Bujei. Alias juga menyuruh Bujei mencuci motosikal tanpa memberikan upah yang dijanjikan. Demikian juga dengan Harun. Bujei takut untuk berjumpa dengan Harun kerana Harun biasa memukulnya. Namun Bujei sempat dipukul hingga pengsan.


PERSOALAN
  • Persoalan kasih sayang terhadap ibu bapa- Hafiz meredah asap tebal untuk menyelamatkan ibunya dalam kebakaran walaupun badannya lemah setelah diterajang oleh Harun.
  • Persoalan pengabaian tanggungjawab terhadap keluarga- Harun mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sebaliknya memaksa Fatimah menyerahkan wang kepadanya untuk berjudi.
  • Persoalan jodoh pertemuan di tangan tuhan- Walaupun Adila pada mulanya takut melihat kelibat Hafiz, tetapi akhirnya telah memilih Hafiz menjadi pasangan hidupnya.
  • Persoalan kasih sayang sesama manusia- Faizal sanggup menceraikan isterinya kerana masih menyayangi Adila dan cuba memujuk Adila berkali-kali supaya kembali kepadanya.

PENGAJARAN
  • Kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain supaya musibah dapat dielakkan- Mak Lamah menasihati Adila supaya pulang ke kota kerana tidak mahu Alias melakukan perkara buruk kepada Adila.
  • Kita hendaklah bersabar dengan dugaan yang dihadapi supaya jiwa kita menjadi tenang- Fatimah sabar menjalani kehidupan bersama Harun walaupun dia diperlakukan secara kasar seperti disepak, diterajang, dipukul oleh Harun.
  • Jangan kita mengaibkan orang lain kerana maruah mereka perlu dijaga- Alias memberitahu Hafiz bahawa Adila terkena penyakit AIDS dan penyakit tersebut telah bertambah teruk sejak akhir-akhir ini.
  • Jangan kita membuli orang yang lemah kerana perbuatan itu sangat dibenci- Hafiz sering menjadi mangsa buli kepada Alias seperti meminta Hafiz terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan dirinya di dalam lumpur sambil mentertawakannya.

NILAI MURNI
  • Kasih sayang- Faizal sanggup menceraikan isterinya kerana masih menyayangi Adila dan cuba memujuk Adila berkali-kali supaya kembali kepadanya.
  • Ketabahan- Walaupun diperlakukan macam-macam oleh Alias, dia tidak pernah serik. Ramai yang menasihatinya supaya menjauhi Alias, tetapi semua itu tidak diendahkannya.
  • Prihatin- Adila memberitahu Same’ah bahawa Hafiz tidak boleh dibiarkan sebegitu. Adila memberitahu Hafiz menjadi mangsa alam dan manusia di sekelilingnya.
  • Baik hati- Hafiz meminta Wak Senen menjaga tanahnya itu sementara dia tinggal di rumah neneknya. Hafiz menyedari bahawa tanah tempat dia tinggal itu bila-bila masa akan dituntut oleh orang lain.